Wednesday, 16 September 2015

Sahabat

Bagi sahabat-sahabat yang pernah hadir dalam diri kalian. Ini tulisannya.

Terkadang "setibanya insan yang benar-benar kita sayang dan kita rindui, hanya bisa hadir sementara untuk mengisi kekosongan. tetapi ketahuilah, tidak semua yang hadir hanya semata-mata untuk itu"....

Ketika perasaan ini menegur lamunanku

aku mendiam,  
lantas ku renung diluar jendela kamarku,  
melihat tika awan berlari menampakkan gigi langitnya,
cerah dan indah seperti suara orkhestra membancuh melodinya..
Ketika perasaan ini pergi
aku menadah tanganku dan berdoa
agar kamu bisa mengerti,
ini bukan kekejaman yang pernah singgah dalam hidupmu,
ini bukan cerita drama yang pernah kutulis skripnya,
dan bukan juga perancangan rapi untukku raikan dikemudian harinya...

bukan marah kurasa
Tetapi mindaku harus mengingat
bukan ego menjalari diri,
Tetapi aku cuma Ingin mengerti
bahawa sahabatku yang selalu kuingat,
yang pernah saling mengingatiku..
susah senangku..
adalah sesuatu yang berharga dalam diri.

Lalu,
Masih adakah tempat 'Sahabat" dihatimu?


Adamfurqan,
Kamar 45, UBD

Thursday, 19 February 2015

Air kopi berlabuh senyuman

Sampai ketahap ini aku memerlukan kopi dan roti manis buat sajian slumber di hening hari. Sembang, sembang dan sembang membawa ke satu konversasi yang serius untuk dibicarakan. Aku teringat, akan kata-kata 'mereka' yang seakan menyentuh dan menggetarkan perasaan." Kau memang kau, yang pernah buat itu, buat ini. Kau buat salah, dan selamanya aku benci kau, aku inda terima keputusanmu, aku inda terima pendapatmu, cadanganmu" dan sewaktu dengannya. Oh yaa, ini jawapan yang ku beri setelah lama aku berfikir penafiannya dan tomahannya. Di "sana", mana mungkin kau gapai untuk pergi ke sana, mana mungkin diri yang kaya boleh membeli nasib, mana mungkin diri boleh yang cerdik mencari solusi untuk merubah tentang kejadian yang sudah-sudah.. Kecuali, mereka yang berganjak kedepan dan meneruskan hidup ke arah yang lebih baik. 

Air kopi tetap berwarna hitam memekat. Fiziknya begitu mudah dinilai kerna semuanya tampak sederhana dan rasanya. Namun air kopi ini juga bakal tampak terkenal jika divariasi olahan dan resepinya. Cukup dengan bubuhan susu pekatnya, susu cair, mahupun gula dan perkakasnya yang membikin kopi yang tampak sederhana tadi berubah menjadi luarbiasa. Coba kita analogikan air kopi dengan kehidupan kita. Seseorang itu akan nampak biasa-biasa saja jika sifat yang 'awesome' kurang dipraktiskan dalam diri kita. Untuk menjadikan diri lebih mantap, air kopi yang sebetulnya tiada diolah dan diadun itu tadi, pabila ianya di 'upgrade' dengan resepi yang lebih baik dan penuh dengan senyuman ia bakal memberikan satu nikmat yang terindah buat penggemar kopi, begitu juga yang dinikmati oleh seseorang yang mengisi kekosongan dengan sifat murni dan nilai indahnya hidup. Dan dengan itu, tiada masalah untuk tampak biasa-biasa saja  tetapi untuk menjadi luarbiasa itu adalah yang terbaik dan 'ohsem'.  Ukir senyuman selalu dan selamat menikmati 'air kopi'.   :)

Adamfurqan
Bicara hati

Monday, 16 February 2015

Tak ku petik bunga selagi belum waktunya

Aku mengerti, sehijau dari pandanganku, aku melihat keindahan, ketenangan dan keselesaan taman itu. Aroma kembang kelopak bunga, membikinkan kumbang-kumbang turut sama mengambil peluang, menghirup dan menagih madu digengaman, entah dapat entah tidak, aku cuma ingin berterus terang. Aura menghempap kepala, menarik perhatianku, menyegarkan komunikasiku. Aku diam dan fokus pada bicaramu yang selalu menantikan suria nan bercanda sungguhpun mereka-mereka juga memeriahkan dirinya pada yang didambanya. Aku ternganga pabila kudekat, ku gelisah tatkala ku menjauh. Lalu, perlukah aku memetik akan dirimu dalam diriku masih tiada persiapan untuk membuatmu sesegar lama?  atau  membiarkan dirimu dipetik orang? atau kubiar ia terkulai layu? Ohh ... Aku tidak sekali-kali inginkan sedemikian rupa, ku takkan bubuh racun dan buatmu mati tersungkur, ditiup angin jatuh mahupun dipijak orang...

Aku tidak ingin diriku di 'label' sebagai perosak yang mencacatkan lagi fizikmu malah hatimu yang pada batinnya begitu suci. Menatapmu berbagai warna, mewarnai lagi diriku sehari-hari sebagai pengunjung yang singgah sementara. Ya, memang aku pernah singgah sementara untuk menjenggukmu, dikala aku jauh bebas keawang-awangan dan aku lupa itu semua. Lalu, aku datang kembali untuk menjengukmu, kerna yang ada itu adalah kamu. Kamu yang tidak pernahku kenali ataupun pernah kutemui. Aku tetap menjadi pengunjung bunga sementara, datang dan pergi itu fitrah yang tidak dapat dinafikan bakal terjadi.. sehingga pada suatu masa, aku bersedia untuk memetikmu dan menjagamu menuju matlamat kasihku, sayangku dan cintaku padamu, Jika bunga yang kupetik itu adalah jodohku.

Adamfurqan
16 Februari 2015

Bunda sayangku , Bapa Wiraku

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh sahabatku yang ku sayangi dan saya
hormati. Alhamdulilah, dengan izinNya jua Allah beri saya kesempatan untuk menulis dan berkenalan bersama kalian. 

Ibu dan bapa adalah anugerah Allah buat hambaNya yang bernama anak. 
Bersyukurlah jika kita mempunyai kedua-duanya masa ini kerna tidak semua yang memiliki ibu atau bapa mahupun keduanya, dan yang perih lagi tidak pernah menatap sama sekali wajah kedua ibubapa mereka apatah lagi mengucupnya dan bersalaman. Mereka ibarat bulan yang menyinari malam, ibarat mentari menceriakan dunia, tanpa bulan dan bintang apalah erti dunia dan tanpa ibu dan bapa suramlah semua. Kerna seorang anak dambakan sentuhan, sentuhan kasih sayang yang menggegarkan dunia, dunia yang penuh memaknakan diri akan erti kebaikan dan mengetahui keburukkan yang perlu dihindarkan. Akan tetapi... Kita tanya dan bisikkan hati kita dalam-dalam, apakah sudah kita meyayangi mereka ? Dan melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai seorang anak? Soal semula diri kita.


"Ma pa, mahu ini, mahu itu". Dengan nada kasih sayang bunda bapa kata " awu lai, nanti bapa belikan, nanti mama belikan sayang". Lemparan senyuman mereka sungguh manis dan cantik terserlah di dunia ini. Disebalik senyuman mereka, kita tidak tahu apa yang bersarang dilubuk hati mereka yang dalam. Inilah mereka. Bunda dan ayah kita. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik buat anaknya apapun caranya. Tetapi persoalannya sekarang, apakah kita tahu tentang kesusahan mereka? Adakah kita tahu betapa besarnya pengorbanan mereka kepada kita? Dari kita  masih kecil dan  dalam keadaan merangkak, tidak tahu makan minum sendiri namun adanya kasih sayang mereka kita berdiri disini menjadi seseorang yang bernama 'manusia'. Apakah kita sadarinya selama ini? Adakah kita mensyukuri? Tepuk dada tanya diri sendiri. 

Apabila kita sudah mengenal dunia, kita  juga tetap seorang insan yang berdarah muda dan mentah dengan kehidupan sebenar. Kebanyakkan kita akan terpesona dengan kawan kita, pendamping kita, iaitu keseronokkan. Keseronokkan yang selalunya membuatkan kita hanyut dilautan leka, yang pada akhirnya akan melemaskan diri kita dan menyesatkan kita dimana tempat yang harus dituju dan begitu juga menemui jalan pulang. Jika kita bernasib baik, kita akan menyedari dan berpatah balik bagi menngambil peluang kedua. Nasib tak baik, tak tahu apa jadinya. 

Bunda akan selalu meleter, ayah pula akan selalu berdiam diri . Bukan  bermakna meleter itu tiada nilai sehabukpun, bukan berdiam diri itu bermaksud megayam bini, tetapi berbalik kepada hati. Kelakuan luaran terkadang tidak menggambarkan maksud dalam hati sebenar.  Mereka tetap mahukan yang terbaik. Mereka tahu teguran mereka bermaksud. Iyalaahh.. kenapa kita tak mampu buat mereka gelak ketawa berbanding mereka bermasam muka? :) senyumlahh, jangan pula kita marah kepada mereka, mereka itu hebat tau tak.. Mereka marah, mereka bermasam muka, mereka tahu apa yang terbaik buat kita, mereka sayang kita sebenarnya. Dengarlah kata mereka meski kita tak pernah setuju, dengarlah dan ikutlah kata mereka , kerna restu kita dibawah restu mereka.. Melainkan sesuatu yang melanggar syariat kita.. Bunda tidak mau anaknya berkesudahan dengan kesudahan yang menyedihkan masa depan manakala ayah tak juga mahukan anaknya terjatuh kejurang kelemasan. Dunia sifatnya sementara, masa begitu singkat, dan ilmu juga begitu cetek untuk dibawa sama walaupun jauh tahap pembelajaran berbanding dengan pembelajaran ayah ibu kita kerna kita perlukan pengalaman dan 'role model', yang boleh memimpin keluarga suatu masa nanti. Itulah ibu dan ayah ... Hormati mereka, meski diorang tak sepandai kita, meski mereka tidak berkelulusan seperti kita, mereka tetap yang terhebat. Sentuhan kasih sayang ibu bapa adalah pembawa berkat disebalik kejayaan kita dan perjuangan bunda dan ayah kita adalah nadi yang membikin diri kita bakal menjadi luarbiasa serta bakal menerti dan mengenal dunia dan akhirat. Mereka adalah pahlawanku yang menegakkan semangat dan tidak membiarkan diri rapuh ditenggelam lautan.

Adamfurqan
16 Februari 2015

Monday, 6 October 2014

Menyelusuri lautanNya dan Mengapai langit biru

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh sahabat

Apa khabar kalian? Diharap baik-baik hendaknya. InshaAllah. Oh yaa, lupa pulak, bagaimana dengan iman? Iman sihat? Moga sentiasa ingat setiap masa padaNya, tanpa Dia siapa kita di sini berpijak dibumiNya yang diciptakan buat makhluknya.
Sebelum ni, pernah dibincangkan berkenaan dengan betapa 'pentingnya ilmu'. Ilmu. Ilmu tidak akan datang dengan sendirinya. Ilmu dicari walau dimana sumbernya. Kita boleh belajar melalui apa yang kita nampak disekeliling kita, apa yang kita rasa, sentuh, hidu dan seumpamanya. Alam merupakan contoh terbaik untuk menimba ilmu dan juga guru kepada manusia sejagat. Namun, pencarian ilmu itu tidak semudah apa yang kita fikirkan/tanggapkan kerana hadirnya dugaan dan rintangan. Walhal ini membuatkan mata kita terbuka besar, kuping luas mendengar dan minda bergerak pantas karna sentiasa memikirkan sesuatu yang tiba. Kenapa? Bagaimana boleh ini terjadi? Kenapa diri yang kena? Kenapa buku sejarah ini terdapat tompok-tompok hitam mencalari diri? Dah sampai ketahap ini, tetapi mengapa masih menimpa?
sekejap.. bangun otak yang malas!! kau telah rosakkan hatimu sendiri! Iman mu!!
Allah tetap bersama dengan orang yang sabar, la tahzan. Setiap dugaan tetap ada penawarnya.

“Hai orang-orang yang beriman,
jadikanlah sabar dan shalat sebagai
penolongmu, sesungguhnya Allah
beserta orang-orang yang sabar.” 
(Al Baqarah : 153)

Lantaran itu, masalah yang hinggap dibahu kita, tetap kita rasakan beban tuk memikulnya. Namun, masalah yang kita rasakan itu akan terasa kurangnya, jika kita ikhlas menerimanya. InshaAllah, bersyukur dengan apa yang kita kecapi masa ini. Islam itu indah dan mudah.

Puisi : Syukur

Oh,
Senja menjemputku pulang dari masa bisu,
Waktu itu,
Ku duduk dipinggir sepi
sawah hijau terbentang luas
manusia lalu-lalang berjumpa pondok tidur
Begitu juga layang-layang berkeliaran
Bersapa sesamanya menuju merdeka
Hebat ciptaan Maha Kaya,
Mewarnai alam semesta,
Penuh suasana mesra
Ku tertunduk tak terkata
bisikan hatiku terhiris juga,
Namun, 
ku setia menanti senyuman bunga
Kerna kemekarannya tak luput menyinari
lembaran mukasurat seterusnya,
ku senang ungkapkan,
Alhamdulilah,
Karna Kau masih beriku 
nikmatMu ya Allah..


Adamfurqan
6 Oktober 2014

Puisi : Nakhoda cinta

Menyelusuri lautanNya, menggapai langit biru, 
Ku terbang diangkasa melihat awan-awan berarak..
Pemandanganku ke sana,
Kapal menuju samudera
bukan sembarangan bergerak,
Kalau bukan dengan harapan..
aku nakhoda cinta,
ku gadaikan bahtera sebagai jihad 
Nafas angin berpergian mencari kasihsayang,
Agar semangat kubawa pulang
kejayaan kepangkuan ..


Adamfurqan
6 Oktober 2014

"Seorang nakhoda kapal pun pernah mengalami kesulitan melangkah samudera menuju kedestinasinya, inikan pula kita seorang ilmuan yang punya harapan mencapai cita"

Sertakan niat ikhlas melakukan sesuatu perkara,
Sampai jumpa lagi..


Adamfurqan 
Salam Aidiladha

Thursday, 2 October 2014

Bangku Sepi, Di sini semuanya bermula...

Assalamualaikum  Warrahmatullahi Wabarkatuh, selamat pagi sahabat yang dihormati.
Bangku Sepi. Sebelum menghuraikan apa makna disebalik sajak ini, ada baiknya kita tengok dulu permaknaan bagi kosa kata yang tertera di atas. Makna 'bangku' menurut pusat rujukan persuratan melayu(prpm), antaranya ialah tempat duduk yang diperbuat daripada papan dsb dan diberi berkaki, dan biasanya tiada tempat bersandar. Manakala makna bagi 'sepi' pula menurut (prpm) ialah 1)tidak riuh-rendah;sunyi;senyap 2)bersendirian ditempat sunyi, mengasingkan diri, memencil diri dsb.

Di sini semuanya bermula..
Bangku yang telah lama ku tinggalkan, 
tetap menjadi kenangan abadi,
Sumber inspirasi dalam hidupku selamanya,
Disitu, 
tempat saat ku terngaga menunggu keputusan Cambridge O 'level'.. 
tempat mencium kenangan pahit pabila dimungkiri janji palsu belaka,
Saat ketawa dan senyum diwajah selumber didepan rakan-rakan, 
namun dalam diam, 
hatiku meronta diserbu dan dijerat ujianNya..
Kegagalan menembak hati yang telah tersakiti menjadi lebih parah berdarah..
apakah disebalik semua ini?

Bangku yang lama diam dan bisu,
Menjadi saksi penderitaan kualami,
Tempat penenang sewaktu ku gusar menghadapi masalah,
Dalam kemalapan yang hadir seumur hidupku,
dibangku itulah menjadi penemanku, dimana ku melihat mereka gembira,
suka dengan kerjayanya,
bicara mereka,
tingkahlaku dan cara mereka. 
Sukarku bangkit,
Ku duduk selama umurku berganjak    setahun dua..

Namun, ku masih anggap semua itu beza dan samar belaka,
kerna siapa kita menilai fizikal, hati dan nasib manusia itu semua sempurna ? 
Terkadang kita anggap punya segala-segalanya di dunia tapi tidak pada kebahagiaan.
Itu hakikatnya.
Mereka setiap hari lalu lalang dihadapan mata, 
membuka mataku untuk mengenali kehidupan sebenar.
Gagal bukan bererti gagal segalanya. Ku merasakan perihnya kegagalan lantaran juga pada saat yang sama, hiba diperkatakan tanpa henti tentang keburukan 'pelajaran setinggi gunung'. Pelajaran tidak digunapakai buat masa ini kerna lebihkan kerjaya di usia muda adalah pilihan tepat dan efisen.

Aku hanya diam, dan bersabar. Merenung dibangku usang ini. Emosi terkadang tak selalu 'neutral' tuk hadapi benda remeh yang menyakitkan itu, namun apakan daya. Mulut orang sukar ditutup, 1000 kebaikan tak ada yang kata, pabila 1 kesalahan terlanjur? Mampuih, berjela-jela diperkatakan! apalah nasib. Tetapi, bukan ini yang ku maksudkan, dan bukan ini yang ku cuba rungkaikan. Hal silam ini merupakan hal yang membuatku tersenyum sendirian,
pabila mengenangkan semula kejadian. Tanpanya, ku bukan siapa-siapa di sini. Ku manusia biasa tak lekang dari berbuat silap pada siapa-siapa,
Ku hanya insan biasa..
Ku terkenang akan kata-kata senior sebelum ni, " belajar adalah peluang, masa depan adalah kerja". Ku rasa sayu mengenangkan jerih perih usaha yang bertubi-tubi coba dilawan dan ditangani, sungguhpun disekeliling membisiki tuk tunduk menyerah. Hati yang kental tidak akan pernah mengalah selagi hati kita ckp 'ya, ku tidak pernah menyerah'. Ku pilih jalan ini. Belajar. Belajar sampai keperingkat ini merupakan syukurku akan usahaku yang hampir padam. Hatiku bersenyum, mataku melebar, kupanjatkan kesyukuran, dan kudoakan kebaikan kepada mereka yang pernah singgah dalam hidup ini. Niat apa sekalipun dari mereka, ku tetap berterima kasih. Hadirnya mereka mewarnai lagi pengalamanku dalam mengecapi kejayaan.
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupnnya..."
Al-Baqarah :286


Salam Juma'at, Adamfurqan

Wednesday, 1 October 2014

Penulis biasa, Adam..

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan salam perkenalan. InshaAllah, harap semuanya baik-baik saja di dalam menangani urusan sehari-hari, baik dari sudut kerja, kuliah, rumahtangga, tanggungjawab dan tidak lupa juga hubungan kita dengan Al-Khaliq dan hubungan kita dengan manusia. Saya selalu dengar dan baca ungkapan ini, "tak kenal maka tak cinta". Diriku selalu memikirkan potongan ayat tersebut. Apa mungkin perkenalan itu mewujudkan/membuahkan rasa cinta dihati kita ? Mungkinkah tiada perkenalan tersebut maka tidaklah lahirnya cinta? Atau cinta juga tak boleh hadir walaupun bertahun mengenali malah ada juga yang tak menyukainya.. Ini disebabkan keinginan dan kehendak hati yang tidak menepati citarasa. Hmmm apa sajalaa, di sini apa yang penting ialah saling mengenali dan bukan cinta semata. 
Sesuatu yang kita ucapkan itu datangnya dari hati, kalau bukan dari hati itu adalah luahan santai, gurau senda mahupun bicara biasa saja. Itu tidak menjadi masalah, apa yang penting di sini ialah selagi terdapat tujuan ingin berkarya, ingin menambah ilmu di dada, terokalah dengan cara apa sekalipun kerna menuntut ilmu  itu tiada batasannya. Sesuai dengan puisi yang pernah diutarakan oleh Imam Syafi'i tentang betapa pentingnya pencarian ilmu itu demi kemaslahatan manusia. Puisi tersebut berbunyi :-

Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman

Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan

Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.

Aku melihat air menjadi rusak karena diam tertahan

Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, kan keruh menggenang



Singa jika tak tinggalkan sarang tak akan dapat mangsa

Anak panah jika tidak tinggalkan busur tak akan kena sasaran
Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang

Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang

Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika di dalam hutan.


- Imam Syafi’i


Dengan adanya 'sharing' ilmu ini, kita dapat menambahkan dan memperkayakan 
lagi pengetahuan kita, dari tidak tahu kepada tahu,dari tahu kepada yang lebih tahu. Tak lupa juga, dengan perkongsian ini juga boleh menjalinkan ukhwuah antara kita, penulis dan pembaca. Diriku bukan sekadar penulis. Ku anggap penulisan ku ini adalah sebagai inspirasi dari babak-babak hidup yang pernah aku lalui. InshaAllah, niat yang baik akan dipermudahkan, olehNya. Amin Ya Rabb. Jika terdapat mesej yang baik ambilah ia sebagai pengajaran, tapi jika terdapat ketidakselesaan kepada pembaca, maafkanlah dan tegurlah diri ini yang masih muda berkarya. Yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk datangnya dari saya sendiri. InshaAllah kita bersua dilain waktu. :)

Salam perkenalan,
Adamfurqan,
Penulis biasa :)